FIQH KESESATAN

Banyak orang yang berbicara mengenai fiqh dan syariah namun tidak banyak yang tahu perbezaan antara keduanya. Memahami perbezaan ini adalah amat penting dan merupakan asas kepada pengetahuan fiqh dan syariah secara keseluruhannya.  Kegagalan memahami fiqh dan syariah secara betul adalah satu satu punca yang mengakibatkan pergolakan antara Muslimin samada sesama bijak pandai mahupun orang awam. Ketidakmampuan untuk membezakan antara fiqh dan syariah boleh menyemarakan budaya kafir mengkafirkan, bidaah membidaahkan serta permusuhan sesama kita.

Penulisan ini tidak akan membincangkan definasi fiqh dan syariah secara teknikal, akdemik mahupun ilmiah. Sebaliknya ia akan menghuraikan pemahaman fiqh dan syariah dalam kaca mata orang awam.

Allah s.w.t menurunkan Al Quran dan mengutuskan Rasulullah s.a.w untuk mengajar Al Quran kepada kita . Ajaran Rasulullah s.a.w itulah sunnah dan hadith. Maka adalah mustahil untuk kita memahami Al Quran secara sempurna tanpa merujuk penafsirannya kepada Rasulullah s.a.w walaupun ada sekumpulan manusia di Malaysia yang menggelar diri mereka sebagai Quraniyyun yang berhujah bahawa Sunnah sudah tidak relevan pada zaman ini. Namun itu adalah satu topik lain untuk dibicarakan pada waktu lain.

Al Quran bukanlah satu kitab undang undang walaupun ianya ada menyenaraikan halal dan haram. Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui boleh sahaja menurunkan satu kitab yang lengkap dengan kesemua hukum dari sebesar besar undang undang sehingga sekecil kecil undang undang. Dari undang undang perlembagaan sehingga peraturan jalan raya. Namun Ar Rahman tidak berbuat begitu. Ar Rahman hanya telah menurunkan beberapa hukum dalam beberapa perkara secara terperinci seperti dalam masalah pewarisan tetapi dalam kebanyakan perkara Allah s.w.t  mendiamkan diri. Ini adalah rahmat Ar Rahman kepada mahklukNya.

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kewajipan , maka janganlah kamu menyia-yiakannya, menetapkan yang haram, maka janganlah kamu melanggarnya, dan menetapkan batasan, maka janganlah kamu melampaui batasannya. Dia diam terhadap sesuatu kerana kasih sayang-Nya pada kamu, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mencari-carinya.” (Hadith Riwayat Ad- Daraquthni dan disahihkan oleh Inbu Hajar dalam Al Mathalib al Aliyah , 2909)

 

As Sunnah juga dalam menerangkan Al Quran  dan juga tidak  memberikan hukum sebanyak mana. As Sunnah juga kebanyakkan hanya memberi hukum hukum kepada permasalahan yang timbul pada zaman hidupnya Rasulullah s.a.w.

Walaubagaimanapun apa yang telah jelas termaktub dalam Al Quran dan Sunnah yang tiada kekeliruan dalam pemahamannya ini adalah dinamakan syariah. Syariah ini tidak boleh dibatalkan dan tetap kekal relevan sepanjang zaman.  Contohnya kewajipan solat, zakat , puasa dan sebagainya serta pengharaman arak, zina, riba dan sebagainya.

Al Quran dan Sunnah walaubagaimanapun  ini banyak memberikan panduan panduan dalam memahami agama ini.

Namun masalah mula timbul selepasa kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w dimana apabila banyak yang mula memeluk Islam dan  kerajaan Islam mula bertambah luas, maka berlaku pertembungan budaya, pemikiran dan gaya hidup dengan penduduk penduduk kawasan yang baru diterokai terutamanya dari Empayar Rom dan Parsi.

Ini menimbulkan konflik memandangkan Rasulullah s.a.w sudah tiada untuk menjawab isu isu baru ini dan Al Quran juga sudah tidak diturunkan lagi oleh Allah s.w.t untuk mengajar ummat ini.

Maka disinilah fiqh bermula. Fiqh secara kasarnya boleh difahami sebagai “pemahaman agama”.  Pemahaman agama Utsman r.a berbeza dengan pemahaman Abu Dzar r.a. Pemahaman agama Abu Darda berbeza dengan pemahaman agama Salman Al Farisi. Pemahaman Ibnu Masúd berbeza dengan pemahaman Ibnu Umar. Padahal kesemua mereka menggunakan hukum syarak yang sama,malah  dibimbing oleh mahaguru yang sama iaitu Rasulullah s.a.w. Namun Rasulullah telah menerapkan bahawa pemahaman agama yang berbeza ini bukanlah satu isu yang besar dan ianya boleh diatasi jika kita saling sayang menyayangi satu sama lain.

Dengan menggunakan pemahaman agama ini, satu demi satu isu isu yang timbul dapat diatasi oleh ummat Islam. Peperangan Riddah dimulakan oleh Saidina Abu Bakar kerana pemahaman agamanya memutuskan bahawa orang yang tidak bayar zakat wajib diperangi walaupun pemahaman agama Umar r.a awalnya tidak begitu. Pembukuan Al Quran dicadangkan oleh Umar Al Khattab melalui pemahaman agamanya walaupun Saidina Abu Bakar r.a mulanya bimbang dengan cadangan itu kerana takut melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Pemahaman agama ini secara kasarnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu secara literal dan keduanya secara maqasid. Kedua-duanya dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesemua mazhab pada zaman ini telah menerima kedua dua methodologi dalam mengeluarkan ijtihad mengikut pemahaman agama mereka. Namun satu waktu dahulu ada satu mazhab yang diiktiraf sebagai Ahlu Sunnah wal Jamaah juga yang hanya mengiktiraf pemahaman agama secara literal iaitu mazhab Zahiri. Namun mazhab ini sudah tidak wujud sekarang.

Pemahaman literal secara ringkasnya boleh difahami bahawa apa sahaja yang Al Quran dan Sunnah katakan kita fahami dan amalkan secara harfiah. Jika Allah dan RasulNya katakan A, maka A lah yang kita faham dan buat. Biasanya dalam pelaksanaan syariat, kita akan mengikut pemahaman literal. Kita solat sebagaimana yang Nabi solat. Kita faham zina itu haram sebagaimana yang Allah dan Nabi kata haram. Kalau kita ikut pemahaman literal sahaja, maka tidak ada proses ijtihad. Malah hukum perundangan Islam kaku dan sama sepanjang zaman. Dadah, rokok, pornografi dan sebagainya tidak akan dapat diharamkan kerana Allah dan RasulNya tidak mengharamkan perkara perkara tersebut secara spesifik. Manakala ibadah solat, puasa , zakat akan menimbulkan kesukaran yang melampau kepada ummat Islam di sesetengah kawasan yang amat berbeza dengan zaman Rasulullah. Ini akan menimbulkan fitnah yang dasyhat kepada agama ini sedangkan agama ini adalah satu agama yang relevan sepanjang zaman dan waktu. Maka pemahaman literal ini diterima pakai oleh kebanyakan ulama malah diutamakan oleh para ulama kecuali jika ianya menimbulkan kezaliman atau menimbulkan kesukaran yang melampau kepada ummat ini.

Manakala pemahaman maqasid pula lebih kepada memahami tujuan dan maksud sebenar sesuatu hukum itu diturunkan. Untuk memahami tujuan dan maksud sebenar sesuatu hukum, maka kajian, penyiasatan dan pemikiran yang jitu mesti dilaksanakan untuk memastikan maksud dan tujuan sebenar hukum tersebut dicapai. Proses ini dimanakan ijtihad .Maka disinilah muncul naskh mansukh, qiyas, istihsan, maslahah mursalah,urf, istishab, sadd al-Dharai dan sebagainya.

Namun oleh kerana pemahaman agama ini adalah satu proses ijtihad, maka pemahaman agama ini tidak boleh dipaksakan kepada individu lain kecuali jika ianya telah dipersetujui secara ijma (consensus) dikalangan semua bijak pandai ummat ini. Namun pemahaman agama yang berbeza menyukarkan wujudnya ijma.

Jesteru harus difahami tidak wujud pemahaman agama yang betul kerana tidak ada pemahaman agama yang telah diendorskan oleh Allah dan RasulNya . Namun usaha untuk mendapatkan pemahaman agama yang terbaik ini adalah satu usahan yang sangat disukai oleh Allah dan RasulNya kerana tujuan mutlak perjuangan pemahaman agama ini adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Maka dengan itu kita harus fahami bahawa permusuhan dalam pemahaman agama ini adalah satu perkara yang amat pelik kerana tujuan kita semuanya adalah untuk mendapatkan keredhaanNya. Jesteru jika wujud golongan golongan yang bermusuhan dan benci membenci antara satu sama lain kerana pemahaman agama yang berbeza , maka terbuktilah bahawa pemahaman agama mereka telah terpesong dari manhaj Islam yang sebenar dan mereka telah menentang syariah agama ini yang menganjurkan kasih sayang sesama ummat. Akhir sekali tadabburlah ayat ini:-

 

A103

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

(A-li’Imraan 3:103

 

A105

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

(A-li’Imraan 3:105

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s