KEADILAN AR RAHMAN DAN ETIKA SEORANG PEGUAM : KENAPA KAMI MEMBELA PENJENAYAH?

Sebagai seorang peguam, persoalan yang sering dilemparkan kepada saya ialah bagaimana saya boleh membela seorang penjenayah di Mahkamah ? Bukankah ianya dianggap satu subahat dengan para penjenayah ? Apakah peguam ini bak pelacur yang sanggup menggadai agama, moral dan prinsip diri demi duit dan kesenangan dunia? Bagaimanakah peguam boleh berdepan dengan mangsa atau keluarga mangsa kepada penjenayah yang bebas kerana kecerdikan dan kepetahan seseorang peguam itu?

Soalan ini sememangnya dan sewajarnya bermain di hati sanubari setiap peguam Muslim yang mempunyai sekelumit iman di kalbunya. Malah semasa saya belajar undang undang di Universiti Islam Antarabangsa dahulu, saya menghadapi dilema ini. Namun pada waktu itu , faktor umur yang mentah dan ilmu yang dangkal menyebabkan saya tidak menemui jawapannya. Persoalan ini menyebabkan saya hampir hampir membuat keputusan tidak mahu beramal menjadi peguam. Namun faktor ekonomi keluarga dan faktor “perintah ibu” menyebabkan saya menjadi terjebak dalam bidang ini.

Namun kini saya bangga dengan keputusan dan profession saya ini. Bagi saya, peguam adalah salah satu profession yang paling mulia di sisi Islam. Ini adalah kerana faktor umur yang matang, pengalaman hidup  dan paling penting ilmu agama yang lebih sedikit berbanding zaman dahulu , menyebabkan saya telah menemui jawapan kepada kesemua persoalan di atas.

Namun, sebelum menjawab soalan soalan tersebut, saya perlu menyimpang dahulu ke satu topik akidah yang amat relevan dalam persoalan ini, iaitu persoalan keadilan Ar Rahman terutamanya di akhirat kelak.

Sebagai Muslim, kita wajib yakin bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Allah juga tidak terikat kepada masa. Apabila kita yakin dengan sifat dan nama Allah s.w.t ini, maka kita juga perlu yakin bahawa Allah s.w.t sedia maklum siapa di antara kita yang akan masuk syurga dan siapa di antara kita yang akan masuk neraka. Dia juga maha mengetahui apa yang kita telah lakukan, akan lakukan dan apa yang tidak lakukan dan akan tidak lakukan.

Namun Allah s.w.t tidak terus memasukan manusia dan jin ini ke syurga atau  neraka sebaik sahaja kita diciptakan. Allah s.w.t juga tidak memasukan kita ke syurga atau neraka sebaik sahaja kita mati. Sebaliknya semua manusia dan jin akan di melalui satu fasa yang kita semua kenal sebagai akhirat. Akhirat sebenarnya adalah persidangan Mahkamah yang paling agung yang akan diadili oleh Hakim yang Maha Agung.

Sebagai sebuah Mahkamah, ianya akan mempunyai prosedur prosedur dan juga beban pembuktian  yang perlu dipenuhi sebelum ganjaran dikurniakan atau hukuman dijatuhkan.  Dalam sesuatu perbicaraan, terdapat dua jenis pembuktian . Pertamanya ialah melalui bahan bahan bukti seperti dokumen dan sebagainya . Keduanya ialah melalui keterangan saksi-saksi.

Di akhirat kelak, sebelum perbicaraan, para tertuduh akan diberikan bahan bahan bukti dalam bentuk “kitab” . Manakala saksi saksi juga akan dipanggil pada hari tersebut dimana saksi saksi itu termasuk anggota badan yang kita gunakan untuk mengingkari perintah Allah s.w.t. Pada waktu itu juga, kita akan mempunyai peluang untuk membela diri dimana kita akan bercakap terus kepada Allah tanpa ada penghalang antara kita dan Allah s.w.t.

Persoalannya kenapa Allah s.wt menetapkan kesemua prosedur ini sedangkan Allah s.wt Maha Mengetahui , Maha Berkuasa boleh memasukkan manusia manusia ini ke syurga mahupun neraka. Jawapannya adalah Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Adil. Allah s.w.t  menetapkan keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti juga dilihat ianya dilaksanakan (  justice must not only be done, but must be seen to be done). Atas prinsip inilah segala perbicaraan setiap insan dan jin dibuat secara terbuka di hadapan kesemua ummat manusia dan jin tanpa ada perselindungan. Pada hari itu, tiada satu insan atau jin yang akan mampu mengatakan bahawa Allah s.w.t menzalimi mereka. Hari itu adalah hari keadilan yang paling sempurna.

Kini kita pulang ke isu asal kita mengenai kedudukan peguam yang membela penjenayah. Prinsip asas keadilan undang undang Islam mahupun undang undang sivil. ialah setiap tertuduh adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di Mahkamah. Walaupun ada seribu manusia melihat tertuduh menikam mangsanya secara kejam, di pandangan undang undang, dia adalah tidak bersalah sehingga dia diberikan peluang untuk melihat bukti bukti dan mendengar saksi saksi yang akan digunakan untuk menyabitkannya dan juga peluang untuk dia membela diri dia. Ini adalah prosedur keadilan dunia dan juga keadilan akhirat.

Maka di sinilah muncul peranan seorang peguam. Peranan seorang  peguam  adalah memastikan bahawa anak guamnya diberikan hak untuk membela diri daripada tuduhan tuduhan yang dikemukakan keatasnya , walaupun anak guamnya adalah manusia yang paling dibenci di muka bumi ini.

Kita harus faham keadilan bukan setakat menghukum penjenayah tetapi juga memastikan penjenayah dihukum dengan cara yang betul dan adil.

Selain itu, kita juga perlu faham persepi dan realiti biasanya adalah dua perkara yang sangat berbeza. Kebanyakan manusia sememangnya mudah menghukum berdasarkan prejudis, sentimen, kegelojohan dan kejahilan. Jesteru adalah perkara biasa, seseorang yang disabitkan oleh masyarakat atau media dengan sesuatu kesalahan, adalah seorang yang tidak bersalah di mata bijak pandai keadilan dan juga di mata undang undang. Maka untuk mengelakkan Mahkamah terburu buru dalam menghukum seseorang, kewujudan dan peranan seorang peguam adalah mustahak sebagai pengimbang kepada segala prejudis, sentimen, kegelojohan dan kejahilan supaya Mahkamah tidak dipengaruhi oleh faktor faktor tersebut.

Seorang peguam yang baik  adalah seorang peguam yang berjuang bersungguh sungguh untuk mendapatkan keadilan dengan berjuang bagi pihak anak guamnya dengan berpandukan lunas lunas keadilan dan undang undang. Dalam mencapai keadilan, semua pihak harus memainkan peranan, daripada pihak mangsa, pihak polis, pihak pendakwa, peguambela  dan juga Hakim sendiri. Jika salah seorang daripada mereka cuai atau tidak amanah, maka kezaliman akan berlaku yang mana seorang yang tidak bersalah boleh terhukum atau seorang penjenayah boleh terlepas.

Walaubagaimanapun , saya tidak akan nafikan bahawa wujud peguam peguam jahat yang sanggup membuat apa sahaja demi satu kemenangan dalam membebaskan anak guam mereka. Mereka sanggup merosakan bukti, mempengaruhi saksi, atau membuat bukti palsu demi membebaskan anak guam mereka. Ada juga yang cuba mempengaruhi hakim atau pihak pendakwa untuk melepaskan anak guam mereka. Saya juga tidak akan bantah jika mereka ini diibaratkan pelacur yang sanggup menggadai keadilan demi keuntungan dunia yang sikit.

Kita juga kena faham bahawa adalah mustahil kita akan dapat keadilan yang sempurna di dunia ini.  Pada awal karier saya, saya menjadi kecewa apabila saya melihat ketidak sempurnaan Mahkamah di dunia ini.  Ketidak sempurnaan ini berlaku walaupun kita mempunyai hakim yang adil, peguam yang bijaksana, fakta yang jelas, dan bukti yang kukuh . Ini adalah kerana kita masih merupakan manusia yang tidak sempurna. Bagaimana mungkin kita menghasilkan keadilan yang sempurna apabila kita sendiri tidak sempurna.

Jika Mahkamah dunia ini sudah sempurna maka tidak tidak perlu lagi lagilah kita kepada Mahkamah Akhirat. Namun hakikat yang pahit ialah kita tidak mempunyai mahkamah yang sempurna di dunia ini. Menyedari hakikat kehidupan inilah,  Rabbul Jalil memperuntukan satu hari supaya keadilan yang sempurna dapat diberikan.

Saya juga percaya bahawa membela seorang penjenayah daripada dihukum tidak menjadikan peguam sebagai orang yang bersubahat dengan jenayah tersebut. Ketika mana berita kaum Nabi Luth akan diazab sampai kepada Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ibrahim telah berhujah cuba membela kaum Nabi Luth. Allah memuji  Nabi Ibrahim ini sebagai seorang lelaki yang bertimbang rasa dan lembut hatinya.

Begitu juga dalam banyak peristiwa apabila ada sahabat sahabat Rasulullah s.a.w datang mengaku berzina, sebelum memainkan peranan seorang hakim yang menghukum , baginda Rasul s.a.w akan memainkan peranan seorang peguam yang cuba mencari jalan keluar supaya yang datang mengaku terlepas daripada hadd zina. Atas sebab itulah saya katakan bahawa kerjaya peguam ini adalah salah satu kerjaya yang mulia.

Akhir sekali , sebagai seorang hamba yang banyak dosa dan maksiat dan sedikit amal kebaikan , saya berharap sebagaimana saya menjadi peguam menolong hamba hambaNya di muka bumi ini , Allah s.w.t akan menolong saya menyembunyikan atau menghilangkan dosa dosa saya di akhirat kelak. Wallahu a’lam.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s