LEMAH LEMBUT BUKAN PENGECUT

Kita bangsa Malaysia adalah bangsa yang sensitif. Hati kita mudah tercalar, mudah terluka. Ianya adalah satu ciri yang baik kerana ianya bermaksud kita juga sensitif untuk tidak mencalar atau melukakan hati orang lain. Kata kita berbunga, teguran kita berkias. Jika dibandingkan dengan bangsa bangsa lain di negara lain, kita adalah bangsa yang lemah lembut. Lihat sahaja di Madina untuk solat di Raudhah atau ketika di hadapan Kaabah untuk mencium Hajaratul Aswad , betapa kita masih mengekalkan ciri ciri kelembutan kita dengan tenang dan sabar ketika mana bangsa bangsa lain saling tolak menolak dan saling berebut kononnya  dalam mencari keredhaan Allah.

Sifat lemah lembut ini baik dan indah. Allah itu Maha Lembut (Ar-Rafiq) lagi suka kepada kelembutan.  Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa ” Sesungguhnya kelembutan itu tidak ada pada sesuatu melainkan akan menghiasinya dan tidak dicabut dari sesuatu melainkan akan memburukannya”. Baginda juga bersabda bahawa  sesiapa yang diberikan dengan sifat lemah lembut akan dianugerahi sebahagian dari kebaikan dunia dan akirat, akhlak mulia dan perbuatan baiknya terhadap tetangganya dapat memakmurkan tempat tinggalnya dan menambah umurnya.

Kita semua tahu betapa lemah lembutnya Rasulullah s.a.w apabila seorang Arab Badwi datang berdiri dan kencing di dalam Masjid Nabi , baginda menghalang para sahabat memarahi  Arab Badwi dan membiarkannya lelaki itu kencing sehingga selesai dan kemudian telah membuat teguran yang lembut kepada lelaki tersebut.

Pada masa yang sama Islam juga mengajar kepada keserhananaan. Malah tonggak utama Islam terletak kepada kesederhanaanya. Kesederhanaan bukan bermaksud ala kadar. Ianya tidak bermaksud seorang Muslim tidak mengejar kecemerlangan dunia apatah lagi akhirat. Ianya tidak bermaksud berusaha dengan usaha yang nominal.

Sebaliknya kesederhanaan yang dimaksudkan ialah keadilan dan keseimbangan. Kesederhanaan yang dimaksudkan ialah tidak melampau sehingga menimbulkan kezaliman.

Islam melarang ummatnya bersolat kepada Allah semata mata sehingga menzalimi hak dirinya untuk menjadi seorang manusia, menzalimi hak keluarganya untuk dikasihi dan dilindungi, menzalimi hak jiran masyarakatnya  untuk dibantu dan dinasihati.

Oleh itu lemah lembut juga mempunyai batas dan sempadannya. Kita lemah lembut namun apabila di dalam peperangan kita mesti menjadi keras dan tegas.

” Nabi Muhammad s.a.w ialah Rasul Allah; dan orang orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang orang kafir (yang memusuhi Islam) dab sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri… ( Surah Al- Fath : 29).

Namun sikap lemah lembut ini semakin pudar di kalangan Bangsa Malaysia. Ini mungkin kerana kita mudah terpengaruh dengan budaya luar yang mempunyai persepsi bahawa sifat lemah lembut ini adalah sifat pengecut. Kita semua mahu menjadi bangsa yang gagah berani. Kita tidak mahu menunjukkan kelemahan kita dengan menjadi lemah lembut. Maka banyak antara kita yang menghilangkan sifat lemah lembut ini.

Di jalan raya, kita pantang dicabar. Ada sebahagian kita langsung tidak boleh dipotong oleh kereta lain. Kita rasakan seperti kejantaan telah diragui apatah lagi jika kita memakai motorkar berkuasa besar manakala yang memotong pula ada kereta kancil cabuk. Kita enggan untuk memberi laluan kepada kereta yang hendak keluar dari simpang kerana kita bimbang kita dianggap lemah dan diambil kesempatan oleh pemadu kereta tersebut. Jika berlaku pertikaian, kita tidak malu untuk keluarkan “stering lock” kita untuk membuktikan kegagahan kita atau mengeluarkan cacian dan makian untuk membuktikan kelancangan mulut kita.

Didalam media sosial, kita menunjukkan keperwiraan kita kononnya untuk menegakkan keadilan dan membenteras kezaliman dengan mencarut, memalukan , mengaibkan sesiapa yang kita  musuhi termasuk keluarganya, kaum kerabatnya, penyokongnya, sahabat handainya tanpa menghiraukan kebenaran tuduhan terhadapnya.

Di dalam berpolitik, walaupun kita mungkin alim dan soleh di mata masyarakat, kita sanggup menjadi manusia tidak bertamadun sehingga sanggup bergaduh, bertengkar semata mata untuk memperjuangkan tokoh atau parti kita. Bagi kita kebenaran  itu tidak bergantung kepada fakta dan keadilan juga tidak bergantung kepada dalil dan bukti. Sebaliknya ianya bergantung kepada ketaksuban kita kepada idola dan parti kita.

Para sahabat,

Marilah kita menilai diri kita, samada kita masih ada kelembutan dalam diri kita atau telah kita korbankan kelembutan kita ini demi memuaskan nafsu ego kita yang mahu berlagak kepada dunia.

Rasulullah s.a.w telah berlemah lembut dengan orang kafir Quraisy selama 13 tahun walaupun mereka menyeksa dan menghina Baginda s.a.w . Malah semasa Fathul Makkah, kita melihat kemuncak kepada lemah lembut Rasulullah s.a.w dengan memaafkan dan bersifat pemurah kepada mereka yang memusuhi Islam.

Baginda Rasulullah s.a.w masih berlemah lembut dengan para munafiqin walaupun Allah s.w.t telah melaknat para munafiqin tersebut hatta masih sanggup menyolatkan pemimpin munafiq dan mendoakannya. Allah s.w.t sendiri hanya menurunkan ayat menghalang perbuatan Rasulullah s.a.w itu selepas Rasulullah selesai berbuat demikan sedangkan Allah itu Maha Mengetahui. Alangkah lembutnya Allah!!

Tidak ada manusia yang sejahat Firaun. Bukan calang-calangnya kezaliman dia yang sanggup membunuh bayi lelaki selang setahun dan memperhambakan wanita Israel Muslimin waktu itu. Namun Allah masih menyuruh Musa a.s berlembut dengannya.

Apalah kita jika dibandingkan dengan manusia manusia agung itu. Siapalah lawan lawan kita jika dibandingkan dengan musuh-musuh Allah dan Rasul itu. Tidak mungkin kita sehebat para Rasul dan tidak mungkin lawan kita sejahat Firaun, Abu Jahal dan Abdullah bin Ubay.

Namun kita menggunakan pelbagai justikasi agama untuk menghalalkan kekerasan dan kekasaran kita kepada lawan kita. Kita menyalahgunakan terma-terma “jihad”, “amar maaruf nahi mungkar”, ” kafir harbi” dan sebagainya untuk menjustifikasi akhlak akhlak buruk kita.

Marilah kita kembali kepada akhlak murni kita. Jika ingin memberi nasihat, berilah dengan penuh kelembutan. Jika kita kasar, nescaya nasihat kita akan dibakul sampahkan. Kita menasihati bukan untuk melukakan hati mereka. Jangan jadikan nasihat kita bak api yang membakar memusnah. Jadikan nasihat kita baik air yang dicurahkan ke atas tanah , hilang di pandangan mata, namun manfaatnya diambil akar menjadi buah yang manis dan bunga yang indah.

Kekasaran kita hanya akan menyebabkan orang lari bukan sahaja dari kita namun dari agama yang amat indah ini.

” Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut mu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah keampunan bagi mereka dan juga bermesyuarat dengan mereka dalam urusan (dunia)… Ali Imran : 159.

Jadikanlah diri kita ini bukti sifat Ar-Rahman Allah.

Sudah tentu kadang kadang madu kita dibalas tuba. Itulah adalah fitrah alam. Namun sebagai hamba Ar-rahman, kita tetap diperintahkan untuk berlemah lembut dengan mereka.

” Dan hamba -hamba Ar Rahman (Allah) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila berhadapan dengan orang orang yang berkelakuan kurang adab, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara -perkara yang tidak diingini.. Al-Furqan: 63.

Semoga denga kelembutan kita ini, kita mampu mencairkan hati hati yang keras dan seterusnya menuju sama sama kepada keredhaan Allah s.w.t

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s