MENCIPTA RAKSASA BARU

Akhirnya, UMNO telah ditumbangkan.  Namun mimpi ngeri UMNO masih belum berakhir. Ianya baru bermula. Satu demi satu komponen BN yang diketuai UMNO mula “mengkhianati” UMNO. MCA juga sudah mula memberi tanda tanda untuk mengkaji semula perhubungan mereka dengan UMNO. Di Sabah, Kedah dan Perak , ada wakil wakil-wakil rakyat UMNO/ BN telah melompat keluar dari UMNO dan masuk ke PH. Pegawai-pegawai kerajaan yang selama ini menumpahkan taat setia mereka kepada UMNO mula berkeluh kesah. Mereka kini menghitung hari. Ura-ura UMNO akan diharamkan kerana tidak menjalankan AGM juga mula bertiup keras. Kertas-kertas siasatan terhadap pimpinan UMNO juga akan dibuka semula dan penyiasatan untuk kes-kes baru juga akan dilancarkan. Kebangkitan semula BN adalah satu cita cita yang agak samar. Kemampuan mereka untuk menjadi pembangkang yang efektif adalah diragui.

 

Di sebelah lawan pula ialah Pakatan Harapan (PH). Kedaulatan yang dinikmati oleh UMNO telah beralih arah kepada PH. Di mata rakyat, PH telah hadir sebagai hero pahlawan yang dijulang kerana telah mengeluarkan negara ini dari kegelapan yang menyelubungi negara ini sekian lama. Mitos kekebalan UMNO akhirnya telah tumpas di tangan PH. Golongan bangsawan, tokoh tokoh korporat, anak anak seni, penghuni menara gading, media massa, dan rakyat marhein kini berdiri teguh di belakang PH. Segala tindakan PH ditafsirkan untuk kebaikan sejagat. Anwar akan dibebaskan. Tokoh tokoh PH dijadikan menteri. Dari hari ke sehari , PH menjadi semakin  gagah perkasa.

 

Semua in berlaku dengan undi rakyat pada tarikh keramat 09.05.2018. Tarikh bermulanya era baru. Namun perjuangan rakyat masih belum berakhir. Rakyat mesti berjuang supaya kesombongan legasi UMNO tidak diteruskan oleh PH. UMNO juga asalnya adalah parti politik yang baik dan hebat. Namun kecemerlangan mereka menyebakan rakyat memuja mereka. Pujaan rakyat menyebabkan kesombongan UMNO. Kesombongan itu melahirkan satu keyakinan kepada mereka bahawa mereka adalah kebal dari undang-undang dan keadilan. Kesombongan itu melahirkan keyakinan bahawa rakyat negara ini tidak akan beralih arah ke parti politik lain. Dengan kesombongan itu, UMNO mula melakukan korupsi, penyelewengan dan pengkhianatan.

 

Akibat kesombongan itu, apabila satu demi satu penyelwengan mereka dibongkar dan didedahkan, mereka tidak peduli. Hari ini wujud suara suara yang menyalahkan Najib atas kekalahan UMNO. Persoalannya, dimana suara suara ini apabila penyelewengan penyelewengan ini didedahkan. Pada waktu itu demi jawatan, demi kuasa, demi kepentingan diri, segala isu-isu penyelewengan  ini telah disenyapkan. Maka Najib telah terpedaya bahawa isu isu ini telah hilang dan telah diselesaikan. Namun kini, apabila kuasa, jawatan, dan mata pencarian ahli-ahli UMNO ini dicabut oleh rakyat, baru mereka terlolong meneriakan ketidak adilan dan kezaliman Najib.

Rakyat terpaksa mengambil masa 5 tahun untuk memberi pengajaran ini kepada UMNO. Ini adalah kuasa untuk mengubah hanya diberikan kepada rakyat 5 tahun sekali sahaja. Sedangkan untuk lima tahun tersebut, kuasa untuk menegur pimpinan telah diberikan kepada wakil-wakil rakyat, ketua-ketua bahagian, Majlis tertinggi UMNO, Menteri-menteri dan Kabinet, Majlis Raja-raja, para mufti dan agamawan, media massa, dan pegawai-pegawai kerajaan. Jika kesemua mereka ini menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka , nescaya rakyat tidak perlu tunggu 5 tahun untuk menegakkan keadilan. Akhirnya apabila rakyat bersuara, baru kesemua pihak tersedar dari lamunan mereka bahawa kuasa sebenar (real power) adalah pada rakyat dan tiada siapa pun yang dapat menghalang kuasa sebenar ini jika mereka bersuara.

 

Kita semua mesti  mengambil iktibar daripada sejarah hitam UMNO ini. Pertama sekali, kita semua mesti menghentikan ketaksuban kita kepada parti politik ataupun kepada tokoh. Ketaksuban kepada parti atau tokoh kesayangan kita menjadikan kita bodoh. Ketaksuban kita menyebabkan kita akan menjustifikasikan apa sahaja kebobrokan, kebodohan dan kezaliman yang dilakukan oleh parti atau tokoh kesayangan kita. Alihkan ketaksuban kita kepada kebenaran dan keadilan. Kita mesti mengubah diri kita untuk berani bercakap benar walaupun ianya menyakiti diri kita dan orang yang kita sayang. Kebenaran dan keadilan mesti dimenangkan walaupun ianya datang dari musuh kita. Kebatilan dan kezaliman mesti ditentangi walaupun ianya datang dari orang yang kita cintai.

Keduanya, wakil wakil rakyat mesti meletakkan kesetiaan mereka kepada rakyat dan negara melampaui kesetiaan mereka kepada parti dan pemimpin mereka kerana yang melantik mereka menjadi wakil rakyat bukanlah parti mereka sebaliknya adalah rakyat. Mana-mana wakil rakyat yang tidak memahami konsep ini adalah pengkhianat.

Ketiganya, pegawai-pegawai kerajaan  mesti menunaikan tugas mereka dengan amanah, jujur dan adil mengikut peruntukan undang-undang dan adab etika yang diperuntukan. Semasa mereka menjalankan tugas, kecedenrungan politik mereka adalah tidak relevan. Sebarang arahan yang melangkau bidang kuasa yang diperuntukan mesti dibantah dan diperbetulkan. Sikap menutup sebelah mata tidak boleh diterima lagi. Budaya membodek mestilah dihentikan dan sebarang perlantikan baru dan kenaikan jawatan mestilah berdasarkan merit dan kelayakan.

Keempat, media massa juga mestilah menyampaikan kebenaran dengan saksama. Budaya fitnah, buruk sangka, dan kekarutan mestilah dihentikan dimana setiap tulisan mestilah berdasarkan fakta dan tanpa prejudis.

Kelima, agamawan mestilah tegas dalam memainkan peranan mereka sebagai penasihat kerohanian pemerintah. Sentiasa menasihati mereka dan sentiasa peka dengan tindak tanduk pemerintah dimana jika berlaku sebarang penyimpangan, agamawan mesti terkehadapan dalam membetulkan penyimpangan tersebut.

 

Oleh itu adalah amat penting kesemua kita memainkan peranan proaktif dalam memastikan negara ini dipacu dalam landasan yang betul. Ingatlah mungkin kita telah menumpaskan satu raksasa UMNO, namun benih-benih raksasa ini mungkin telahpun menular ke PH dan mula meracuni raksasa baru ini. Penawar kepada racun ini ada di tangan kita maka gunakanlah ia demi kebaikan kita semua.

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s