SUNNAH BERKAHWIN GADIS 6 TAHUN: “LET’S TAKE THE BULL BY THE HORNS” (BAHAGIAN 1)

Sekali lagi usia Siti Aishah r.a sewaktu berkahwin dengan Rasulullah s.a.w menjadi kontroversi. Kontroversi ini kembali menjadi liar akibat perbuatan seorang lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan seorang anak gadis berusia 11 tahun.
Isu ini adalah satu isu yang amat sukar. Saya perhatikan banyak orang agama juga menjadi serba salah dalam menangani isu ini. Apakah pendirian kita perlu ambil dalam isu ini?
Jika kita bantah dengan perkahwinan tersebut, bukankah Rasulullah s.a.w kahwin dengan Aishah ketika Aishah berusia 6 tahun? Bukankah ini satu dalil yang mewajarkan perkahwinan tersebut?

Jika kita bersetuju pula, bukankah ini satu kezaliman kepada anak gadis yang berusia 6 tahun yang masih naif, suci dan mentah untuk dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab rumah tangga apatah lagi untuk disentuh secara seksual yang mana menyebabkan anak gadis tersebut menjadi menggandung dalam keadaan fizikalnya yang masih belum sempurna sepenuhnya?
Jesteru kita faham kesukaran ahli agama dalam menjawab persoalan ini. Ditelan mati emak diluah mati bapa.

Bagi saya dalam menangani isu ini, saya memegang kepada 2 premis.

Premis pertama, saya sebagai Muslim tidak ada masalah dengan perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Siti Aishah ketika Siti Aishah berusia 6 tahun.
Premis kedua, saya sebagai Muslim ada masalah jika seorang lelaki berkahwin dengan gadis yang berusia 16 tahun kebawah.
Adakah kedua premis ini bertentangan? Bukankah Rasulullah s.a.w adalah diutus untuk menjadi ikutan sepanjang zaman? Kalau Rasulullah s.a.w pernah melakukannya, bukankah ianya bukti bahawa sesuatu perbuatan itu baik? Kalau Rasulullah s.a.w membenarkannya apatah lagi Baginda sendiri melakukannya, siapakah kita untuk mengharamkannya? Kenapa kita terikut-ikut pandangan liberalisme yang menghalalkan LBGT tetapi mengharamkan perkahwinan suka sama suka satu pasangan hanya semata-mata kerana pengantin perempuannya berusia 11 tahun sedangkan bapanya sendiri sebagai wali tidak mempunyai sebarang bantahan?
Bagi menjawab kesemua persoalan ini, maka saya perlu huraikan kedua-dua premis saya diatas satu persatu. Walaubagaimanapun untuk kali ini saya akan huraikan premis pertama sahaja. Huraian premis kedua, insyallah dalam penulisan seterusnya.

PREMIS PERTAMA: SAYA TIADA MASALAH DENGAN PERKAHWINAN RASULULLAH S.A.W DENGAN SITI AISHAH R.A YANG BERUSIA 6 TAHUN.
Untuk memahami perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Siti Aishah ini, kita perlu memahami konteks dan latar belakang perkahwinan tersebut.
Rasulullah s.a.w sebelum diutus menjadi Rasul oleh Allah s.w.t, adalah seorang pemuda yang amat disayangi oleh Ahli Makkah. Akhlak baginda yang indah dan kebaikan rupa parasnya menyebabkan beliau adalah tokoh pemimpin yang sedang menjulang namanya. Apatah lagi isterinya adalah Khadijah binti Khuwailid yang merupakan antara wanita yang terkaya dan dihormati di Makkah. Beliau juga berasal dari keluarga Bani Hasyim dan merupakan cucu kepada Abdul Muttalib yang amat disanjungi oleh penduduk Makkah. Dua anak perempuannya iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kulthum telah dikahwinkan dengan dua anak lelaki Abu Lahab yang merupakan bapa saudaranya sendiri Pendek kata baginda memiliki kehidupan yang amat sempurna dan bahagia.
Kemudian Baginda diutuskan dengan risalah dan tanggunjawab yang amat berat. Menyebarkan Islam keseluruh dunia sebagai rasul yang terakhir. Jika baginda gagal, cahaya Islam akan terpadam di bumi Allah ini buat selama-lamanya. Ini peluang terakhir kepada ummat manusia. Bayangkan betapa besarnya dan betapa beratnya galas tanggungjawab yang dipikul Baginda. Baginda yang merupakan manusia yang paling penyayang dan pemurah, sudah tentu amat gelisah dengan beban ini.
Tidak cukup dengan itu, kaum keluarganya yang selama ini yang menyayanginya, mempercayainya dan menyanjunginya, berpaling dan melukakan baginda dengan kata-kata hinaan, makian dan kejian. Abu Lahab memulangkan kembali kedua puterinya ke rumah baginda dimana salah seorang menantu baginda tersebut meludah ke muka baginda. Sepupu-sepupunya yang selama ini bersahabat baik dengan baginda sendiri telah meninggalkan dan mengabaikannya.
Pada kesemua waktu ini, yang menyokong yang mendokong baginda s.a.w adalah isteri baginda iaitu Siti Khatijah, seorang wanita agung yang tidak ada kata-kata yang mencukupi untuk mengambarkan keagungannya. Cukuplah saya katakan, beliau adalah wanita yang selayaknya untuk manusia seagung Baginda s.a.w. Baginda s.a.w tidak berkahwin dengan wanita lain sewaktu hidupnya Siti Khadijah.
Namun Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Allah s.w.t memanggil kembali Siti Khadijah ke sisiNya pada ketika Baginda s.a.w paling memerlukan Siti Khadijah di sisi baginda.
Kewafatan Siti Khadijah menyebabkan Rasulullah s.a.w sentiasa berduka dalam keaadaan penentangan kaum musyirikin Makkah pula makin genting dan makin dasyhat . Melihat ini, para sahabat menjadi risau. Maka para sahabat mencadangkan dua nama kepada Rasulullah s.a.w iaitu Sawdah binti Zam’ah dari kalangan janda yang sudah lanjut usianya dan Siti Aishah dari kalangan anak dara.
Baginda kemudiannya berkahwin dengan Sawdah binti Zam’ah pada tahun ke sepuluh kenabian. Kemudian setahun selepas itu baginda berkahwin pula dengan Siti Aishah. Namun sebelum Siti Aishah berkahwin dengan Rasulullah s.a.w , Siti Aishah pernah bertunang dengan Jabir bin Muth’im bin Adi, namun ianya terputus atas sebab ketidak Islaman Jabir.
Rasulullah s.a.w sendiri selepas berkahwin dengan Siti Aisyah pernah menceritakan kepada Siti Aishah bahawa baginda pernah bermimpi sebelum berkahwin dengannya yang mengisyaratkan bahawa baginda s.a.w akan berkahwin dengan Siti Aishah.
Selepas perkahwinan Aisyah dengan Baginda s.a.w, beliau masih terus tinggal bersama dengan ibu bapanya selama 3 tahun sehinggalah beberapa bulan selepas Hijrah ke Madinah, barulah beliau berpindah ke rumah Baginda Rasul s.a.w.
Setelah memahami konteks dan latar belakang perkahwinan ini, kini saya akan nyatakan dua sebab kenapa saya tidak ada masalah dengan perkahwinan ini.

Sebab Pertama: Perkahwinan Ini Tidak Kontroversi Pada Zamannya

Rasulullah s.a.w banyak dikritik oleh para musuhnya pada zamannya. Musyrikin Makkah, Yahudi Madinah, dan Munafiq sentiasa mencari jalan untuk mencela baginda s.a.w. Sememangnya pada zaman baginda s.a.w, ada satu perkahwinan baginda yang menjadi kontroversi, namun ianya bukanlah perkahwinan Aishah sebaliknya adalah perkahwinan baginda dengan Zainab binti Jahash.

Ini adalah kerana Zainab adalah bekas isteri kepada anak angkat baginda s.a.w iaitu Zaid bin Harith. Pada zaman tersebut, anak angkat dianggap seperti anak kandung dan bekas isteri anak angkat tidak boleh dikahwini oleh bapa angkat. Ini bertentangan dengan syariah Islam yang mana status anak angkat tidak akan sama dengan anak kandung. Maka Allah memerintahkan Rasulullah s.a.w berkahwin dengan Siti Zainab. Ini menyebabkan Rasulullah s.a.w menjadi tertekan kerana bimbang dengan persepsi masyarakat pada zaman itu. Natijahnya Allah menegur kebimbangan Rasulullah s.a.w di ayat 37 Surah Al-Ahzab.
Namun perkahwinan Siti Aishah ini tidak menjadi kontroversi walaupun Siti Aishah hanya berusia 6 tahun semasa pernikahannya dan 9 tahun semasa bersama dengan Baginda s.a.w. Ini adalah kerana ianya adalah perkara biasa pada zaman tersebut. Hatta Siti Aishah sudah pernah bertunang dengan orang lain sebelum ianya diputuskan dan dia dinikahkan dengan baginda s.a.w.
Pada zaman tersebut, usia tidak memainkan peranan dalam kelayakan untuk berkahwin. Maka tidak ada siapa yang menyimpan rekod kelahiran. Atas sebab itulah isu usia Siti Aishah ini masih menjadi kontroversi dikalangan cendiakawan Islam.

Yang menyebabkan seorang anak gadis layak berkahwin pada zaman itu ialah kematangan fizikal, mental dan emosinya. Yang paling layak untuk menilai kematangan ketiga tiga faktor ini sudah tentu ialah ibu bapa anak gadis itu sendiri. Lebih -lebih jika ibu bapa gadis itu ialah figura hebat seperti Abu Bakar As- Siddiq dan Ummu Ruman yang kedua-duanya merupakan penasihat utama kepada Baginda s.a.w. Kita semua tahu kebijaksaan Umar r.a, namun percayalah kebijaksanaan Abu Bakar adalah lebih hebat dari kebijaksanaan Umar.
Cabaran hidup pada zaman tersebut menyebabkan anak anak menjadi cepat matang dan berdikari. Anak lelaki juga berkahwin pada seawal usia 12 tahun. Amr bin Al As telah memperolehi anak lelakinya Abdullah pada ketika usia 12 tahun. Pada zaman itu juga, tidak wujud sistem pendidikan yang memerlukan anak gadis atau anak bujang perlu menghabiskan usia ke sekolah untuk pendidikan.

Jesteru , tradisi, budaya dan persekitaran mewajarkan seorang anak gadis berkahwin seawal yang mungkin.Malah tradisi berkahwin pada usia awal ini masih berlanjutan di negara ini sehingga 50 tahun lepas. Sejujurnya sehingga hari ini, tradisi anak gadis berkahwin awal ini masih berlanjutan hatta di negara-negara maju. Malah di Jepun, usia seorang gadis untuk memberikan persetujuan untuk perhubungan seks ialah 13 tahun, sedangkan Jepun adalah masyarakat moden, kaya, berilmu dan berteknologi tinggi.
Oleh itu kontroversi perkahwinan Aishah ini hanya menjadi heboh mutakhir ini. Tidak cerdik untuk kita menentukan kebenaran sesuatu perbuatan yang dilakukan pada 1400 tahun dahulu dengan mengunakan lensa pemahaman dan budaya kita hari ini. Sesuatu budaya atau tradisi lampau tidak akan menjadi salah hanya kerana ianya bertentangan dengan budaya kita pada hari ini. Jadi apa rasionalnya kita hendak menghukum budaya 1400 tahun dahulu sedangkan kebudayaan moden hari ini pun masih tidak semua sekata dalam isu usia anak gadis ini.

Kecuali jika tradisi tersebut menyebabkan kezaliman. Ini membawa kita kepada sebab kedua.

Sebab Kedua: Perkahwinan Dengan Siti Aishah Tidak Mengakibatkan Kezaliman

Saya telah tegaskan bahawa sesuatu amalan, budaya, adat resam atau tradisi tidak sewajarnya dikatakan salah hanya kerana semata-mata kita tidak bersetuju dengannya. Maka untuk mengatakan ianya salah ia perlu mengakibatkan kezaliman.

Siti Aishah tidak pernah mengatakan bahawa beliau dizalimi oleh Baginda s.a.w samada dari segi fizikal, emosi, mental hatta dari segi seksual sekalipun. Perkahwinan mereka penuh dengan cinta, dan gelak ketawa. Pada masa yang sama juga ianya juga penuh dengan kecemburuan dan sifat marah dan merajuk Siti Aishah. Siti Aishah bukanlah seorang wanita yang “takut” kepada suaminya sehingga tidak berani bersuara di hadapan Rasulullah. Malah Siti Aishah pernah beberapa kali ditegur malah hampir dipukul oleh bapanya Abu Bakar kerana meninggikan suara kepada Rasullullah s.a.w . Namun setiap kali itulah Rasulullah s.a.w yang akan melindungi Siti Aishah.

Beliau bukan seorang wanita yang boleh ditindas atau dibuli. Ada sebabnya kenapa Allah memilihnya untuk menghadapai ujian Ifk atau Fitnah yang akhirnya Allah s.w.t sendiri membersihkan namanya.
Siapa yang dapat melupakan kemarahan Aishah r.a kepada Rasulullah s.a.w semasa peristiwa Ifk tersebut kerana menganggap Rasulullah s.a.w tidak mempercayainya semasa peristiwa tersebut. Siapa yang boleh mengabaikan fakta ketegasan Aishah yang enggan berterima kasih kepada Rasulullah s.a.w apabila namanya dibersihkan oleh Allah s.w.t dan menegaskan bahawa beliau hanya perlu bersyukur kepada Allah s.w.t. Siapa yang boleh menafikan keberanian Aishah kerana bukan calang calang wanita yang sanggup keluar untuk menuntut keadilan dari Saidina Ali r.a atas pembunuhan Saidina Uthman r.a. Siapa yang boleh mempertikaikan kewanitaan Aishah apabila beliau mengkritik Abu Hurairah kerana meriwayatkan bahawa solat boleh batal disebabkan anjing, keldai atau wanita yang lintas di hadapan orang yang bersolat dengan menyoal adakah Abu Hurairah menyamakan wanita dengan anjing dan keldai, sedangkan Siti Aishah pernah berbaring di hadapan Rasulullah s.a.w ketika baginda s.a.w solat.
Kehebatan Aishah bukan terletak pada kecantikannnya kerana ada isteri Rasulullah yang lebih cantik daripada Aishah seperti Saffiyah, Juwairiyyah dan Zainab. Kehebatan Aishah terletak kepada kebijaksanaan dan kecerdasannnya. Ini diakui oleh para sahabat dan kehebatan ilmunya adalah setara dengan sahabat-sahabat hebat seperti Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Thalib dan Abdullah bin Abbas.Banyak sahabat-sahabat agung datang berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan pendapatnya dalam pelbagai isu. Pengetahuannya dalam bidang Al-Quran, Hadith, syair, pidato, perubatan dan pelbagai ilmu diakui oleh para sahabat dan para tabiin.
Saya menceritakan kesemua ini untuk menunjukan karektor wanita agung ini. Jika beliau rasa beliau dizalimi sudah tentu beliau tidak akan teragak-agak untuk mengatakannya. Sebaliknya beliau dengan tegas menegaskan keindahan akhlak Rasulullah s.a.w dalam rumah tangga beliau. Sehingga ke akhir hayat, beliau masih menunjukkan hasil tarbiyyah dan didikan Rasul sejak menjadi ahlul bait ketika berusia 6 tahun.

Tidak ada sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa Aishah teraniya atau dizalimi atau disakiti akibat perkahwinannya pada usia seawal 6 tahun. Maka berdasarkan apakah kita perlu gusar dan gentar untuk menegaskan bahawa kita tidak masalah  Rasulullah s.a.w berkahwin dengan seorang anak gadis berusia 6 tahun.

Kesimpulannya,  perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Aishah adalah berdasarkan perintah Allah. Sejarah telah membuktikan hikmah dan kebijaksanaan Allah dalam menetapkan taqdir ini . Saya tidak perlu bersifat apologetik dengan fakta tersebut. Aishah adalah ditakdirkan untuk menjadi contoh tauladan kepada setiap wanita pada zaman moden ini. Aishah adalah seorang tokoh femenisme Islam ketikamana dunia masih tidak mengenali feminisme. Namun untuk membentuk tokoh ini, ianya memerlukan seorang Rasul mentarbiyyah dan mendidiknya sejak usia muda lagi. Maka Allah menetapkan bahawa wanita ini masuk ke rumah Rasulullah sejak usia 6 tahun lagi. 12 tahun bersama baginda, beliau keluar dari universiti tarbiyyah Rasulullah s.a.w sebagai seorang wanita hebat. Tidak ada isteri Rasulullah s.a.w lain yang lebih hebat dari keilmuannya jika dibandingkan dengan Aishah.

Akhir kalam, jangan menjadi dangkal (shallow) melihat  pada usia Aishah semata  tetapi lihatlah kepada kehebatan Aishah, seorang srikandi Islam yang agung.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s