NATIJAH SALAH UNDI, MELAYU HILANG TONGKAT??

Richard Malanjum telah dilantik menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada 26.07.2006 dan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara selepas 12 tahun pada 11.07.2018. Md Raus Shariff dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 12.09.2011 dan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada 1.04.2017. Arifin Zakaria menjadi Hakim Besar Malaya pada 18.10.2008 dan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada 12.09.2011. Tun Zaki yang paling hebat, dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2007 dan menjadi Ketua Hakim Negara pada 21.10.2008.

Kalau diikutkan senioriti , Richard Malanjum telah dilangkaui daripada menjadi Ketua Hakim Negara sebanyak 3 kali walaupun mengikut senioriti beliau paling layak hanya kerana beliau adalah beragama Kristian dan berbangsa minority.

Pertimbangan senioriti ini adalah pertimbangan meritokrasi, iaitu pertimbangan mengikut kelayakan semata tanpa melihat kepada agama dan bangsanya. Ini merupakan sesuatu yang janggal dalam dunia politik Malaysia pra PRU-14 yang mana pertimbangan utama dalam memilih jawatan utama dan kritikal ialah agama dan bangsa calon.

Namun pasca PRU 14, segalanya telah berubah. Beberapa jawatan utama dan kritikal mula diberikan kepada bangsa minority negara ini yang sudah tentu mempunyai pandangan alam (worldview) yang berbeza dengan bangsa majoritinya.

Sudah tentu perkembangan ini amat membimbangkan orang-orang Islam Melayu yang selama ini selesa dengan perlindungan yang diberikan oleh “abang long” Melayu , UMNO. Orang Melayu selama ini berasa selamat dan selesa   dengan kedudukan mereka sebagai kaum majoriti, bangsa bumiputera.  Pemerintahan dipegang Melayu, kehakiman dikuasai Melayu, syarikat-syarikat GLC diterajui  Melayu, penjawat awam kebanyakannya Melayu, ketenteraan adalah milik Melayu dan di tampuk segalanya , ada kesultanan Melayu.

Namun ini mula berubah. Tongkat Melayu mula ditarik balik. Orang Melayu mula terpinga pinga bagai rusa masuk kampung dengan segala perubahan drastic yang berlaku ini. Orang Melayu mula risau adakah mereka sudah tersalah langkah? Adakah segala perubahan ini akan menyebabkan orang Melayu menjadi terpinggir dengan kaum lain di Malaysia ini? Adakah orang Melayu akan tumbang apabila tongkatnya dicabut?

UMNO dan PAS pula  dengan bijak mengambil pendirian tunggu dan lihat. Biar orang Melayu sedar betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh UMNO dan PAS dalam kehidupan politik orang Melayu. Biar orang Melayu tahu  apa kesannya apabila kepimpinan negara ini berada di telunjuk DAP sebagaimana yang mereka gembar-gemburkan selama ini . Biar orang Melayu lihat bahawa apa yang diramalkan oleh UMNO dan PAS menjadi mimpi ngeri kepada orang Melayu.

Saya tidak nafikan ini semua , tetapi……

Ummat  Melayu adalah ummat  Islam. Ummat Islam adalah ummat yang adil. Ummat Islam adalah ummat yang bermaruah. Ummat Islam adalah ummat yang berani. Ummat Islam adalah ummat yang bertawakkal kepada Allah. Ummat Islam adalah ummat yang bersangka baik kepada Allah. Ummat Islam adalah ummat yang berakhlak mulia. Ummat Islam adalah ummat yang terbaik. Ummat Islam tidak mungkin cundang kepada ummat lain dalam lapangan dunia mahupun akhirat.

Ummat Melayu hari ini tidak sama dengan ummat Melayu 50 tahun lepas. Ummat Melayu 50 tahun lepas baru keluar dari penjajahan. Ummat Melayu 50 tahun lepas masih terjajah minda mereka. Ummat Melayu 50 tahun lepas masih kagum kepada penjajah mereka. Ummat Melayu 50 tahun lepas tiada pendidikan tinggi. Ummat Melayu 50 tahun lepas banyak yang  sudah lupa agama mereka. Ummat Melayu 50 tahun lepas sudah tiada identiti agama bangsa mereka. Ummat Melayu 50 tahun lepas tiada keyakinan diri mereka. Ummat Melayu 50 tahun lepas takut bersaing dengan bangsa lain.

Ummat Melayu hari ini adalah ummat yang ada ilmu di dada. Ummat melayu hari ini sudah ada jati diri mereka sebagai Melayu Islam. Ummat Melayu hari ini sudah ada keyakinan diri. Ummat Melayu hari ini tidak takut bersaing dengan bangsa lain. Ummat Melayu hari ini adalah suluh kepada ummat Islam seluruh dunia.

Ummat  Melayu sudah tidak perlukan tongkat. Ummat Islam sudah tidak perlukan ‘abang long” untuk jaga mereka, untuk tatang mereka, untuk suap mereka. Ummat Melayu sudah dewasa. Sudah gagah, sudah bijak, sudah matang.

Namun perjuangan orang Melayu masih belum selesai. Perjuangan orang Islam tidak akan habis. Perjuang orang Islam hanya akan tamat apabila matahari terbit dari barat atau apabila nyawa hilang berkalang tanah.

Kita ummat Islam tiada masalah jika jawatan penting negara ini dijawat oleh orang bukan Islam asalkan mereka yang terbaik. Namun kita ada masalah jika agama kita direndahkan. Kita ada masalah jika identiti diperkecilkan. Kita ada masalah jika jati diri kita dinafikan. Kita ada masalah jika suara kita dipencilkan. Kita ada masalah jika nafsu sarakah dirajakan. Kita ada masalah jika maksiat diagungkan.

Selama ini ummat bukan Islam walaupun jumlah mereka lebih kecil, suara mereka amat lantang. Ummat Islam pula walaupun ramai namun suara kita lemah. Jika selama ini , kita ada kerajaan yang melantangkan suara kita, kini sudah waktunya untuk kita melantangkan suara kita. Suara kita mesti bergema seluruh dunia. Suara kita tidak harus disenyapkan. Suara kita mesti mengetarkan lawan dan kawan. Suara kita mesti menakutkan kerajaan. Namun suara kita mesti beralaskan keadilan. Suara kita mesti beralaskan kebenaran.

Suara kita bukan suara politik yang gilakan kuasa. Suara kita bukan suara peniaga yang tamakkan harta. Suara kita adalah suara Islam. Suara kita alah suara yang membawa cahaya keadilan dan kebenaran ke dunia ini.

Kita tidak perlukan UMNO, PAS, Bersatu, PKR atau Amanah untuk menjadi suara kita. Setiap kita mesti bersuara. Kita semua adalah pejuang agama ini. Kita berjuang bukan sahaja untuk hak kita. Kita berjuang untuk semua . Tidak kira agama, tidak kira bangsa. Kita berjuang untuk yang miskin, untuk yang kaya. Kita berjuang untuk yang lemah dan untuk yang kaya. Kita berjuang untuk manusia dan juga untuk mahkluk lain. Kita berjuang sebagai seorang khalifah.

Ummat Islam mesti masuk ke dunia perjuangan. Jadilah aktivis. Pilihlah perjuangan kamu. Jika mahu perjuangkan anak anak yatim, pergilah. Jika mahu perjuangkan janda dan balu, pergilah. Jika mahu perjuangkan orang miskin, pergilah. Jika mahu perjuangkan hak haiwan, pergilah. Jika mahu perjuangkan alam sekitar, pergilah. Jika mahu perjuangkan hak orang Palestin, pergilah. Jika mahu perjuangkan Islam, pergilah. Apa sahaja yang diperjuangkan, perjuangkanlah sungguh sungguh. Jika dibuang ke darat, menjadi gunung. Dibuang ke laut menjadi pulau.

Jika tidak mampu menjadi aktivis, berjuanglah melalui media social. Tulislah, sokonglah. Nyatakan pendirian kita. Dengarkan suara kita. Jangan hanya menjadi pemerhati sepi. Hidup segan mati tidak mahu. Setiap kita mesti berjuang. Berjuang untuk satu perjuangan agung.

Sudah takdirnya, kerajaan kita berubah. Sudah takdirnya, kita perlu mengubah diri kita. Melalui takdirnya, Allah mahukan perubahan kita. Maka marilah kita mulakan satu perubahan. Bermula dengan diri kita…..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s